Thursday, October 28, 2010

Artikel-artikel Seni

Artikel 1


Kesan-Kesan Positif Semasa Mengikuti Mata Pelajaran Seni Dalam Pendidikan

Mengikut Dr. Sharifah Norul Akmar Syed Zamri (2006), asas pendidikan dirujuk sebagai ‘3 R’ iaitu membaca, menulis dan mengira.Penggunaan huruf ‘R’adalah satu kata yang sesuai digunakan dalam Bahasa Inggeris tetapi mungkin tidak dalam Bahasa Melayu. Namun begitu, sama ada kata-kata itu sesuai atau tidak, tujuannya tetap sama: seni perlu dijadikan ‘R’ keempat atau literasi asas selain membaca, menulis dan mengira. Ini kerana, Seni Dalam Pendidikan memainkan peranan yang penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran.Terdapat 3 bidang utama dalam mata pelajaran ini iaitu Seni Visual, Seni Muzik dan Seni Pergerakan. Antara kesan-kesan positif semasa mengikuti Mata Pelajaran Seni Dalam Pendidikan ialah:

(i) Proses Pengajaran Dan Pembelajaran Menjadi Lebih Seronok.

Pengajaran yang dilaksanakan dengan menggabungjalin pelbagai unsur seni dan berbeza dari kaedah pengajaran tradisional yang hanya menggunakan kapur dan papan tulis sebagai media dalam penyampaian maklumat  murid berasa lebih seronok. Selain itu, murid akan berasa lebih selesa dan lebih mudah untuk memahami sesuatu tajuk yang diajar. Contohnya,kaedah belajar secara bermain dapat membina dan menjalinkan perhubungansosial sesama murid. Selain itu, perhubungan sesama murid juga dapat bertambah mesra dan dapat bekerjasama melalui aktiviti-aktiviti permainan secara kumpulan. Ini turut membantu dalam penyemaian nilai-nilai murni didalam diri dan meningkatkan motivasi untuk mengikuti proses pembelajaran.

(ii) Memupuk Nilai Kerjasama

Secara semulajadi, kebanyakan aktiviti Seni Dalam Pendidikan tidak dapat mengelakkan murid-murid daripada terlibat dalam kegiatan yang berunsur kerjasama. Aktiviti berkelompok menuntut setiap individu bergerak dan berinteraksi secara bekerjasama untuk mencapai kejayaan bersama . Aksi-aksi yang terdapat dalam Seni Dalam Pendidikan merangkumi aktiviti seni visual,muzik dan pergerakan mempunyai titik tolak interaksi sosial yang terjalin melalui deria sentuh. Komunikasi deria sentuh ini mempunyai asas yang boleh menjalin perhubungan sesama manusia yang membawa kepada konsep perpaduan.


(iii) Memenuhi Keperluan Sosial Yang Asas

Apabila semua murid berpeluang menyertai aktiviti-aktiviti yang sesuai dengan minat dan kebolehan mereka, maka akan terbentuk satu situasi ideal yang dapat memenuhi kedua-dua matlamat sosial iaitu rasa ketermilikan dan keinginan diterima sebagai anggota kelompok. Murid-murid mahukan dirinya diterima sebagai anggota sebuah kelompok dan pada masa yang sama memerlukan kasih sayang. Dalam kegiatan Seni Dalam Pendidikan, keperluan untuk belaian sekurang-kurangnya dipenuhi melalui pujian dan galakan yang diberi sebaik sahaja mereka memersembahkan aktiviti yang menarik. Perhubungan mesra antara murid dengan murid dapat mewujudkan suasana yang harmonis dan menyebabkan murid merasakan bahawa guru dan rakan-rakan prihatin terhadap dirinya dan menghargai bakat yang dimiliki.

(iv) Murid berpeluang untuk menjalani proses penerokaan semasa dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (1996), penerokaan dapat ditakrifkan sebagai penyelidikan yang bertujuan untuk mengetahui sesuatu yang belum diketahui. Penerokaan dapat dilaksanakan dengan cara menjelajah. Namun begitu, proses ini memerlukan pelbagai bahan dan kaedah. Pengalaman meneroka juga merupakan sesuatu situasi pembelajaran. Meneroka dijalankan dengan membuat eksperimen, menyelidik dan mencipta menggunakan pelbagai idea dan bahan. Penerokaan terbahagi kepada tiga kategori iaitu alat dan bahan, cara pengolahan dan manipulasi serta idea dan isi kandungan.

(v) Luahan Perasaan Dan Aras Keyakinan Yang Tinggi.

Perasaan merupakan reaksi badan terhadap rangsangan yang diterima sama ada ia bersedia atau tidak. Di samping itu, perasaan juga mungkin dapat memberikan sumber manfaat dan kerugian kepada seseorang. Guru boleh mengagak perasaan sebenar murid melalui tingkah laku yang dipamerkan. Murid yang menyertai aktiviti-aktiviti seperti permainan boleh mewujudkan suasana keriangan, bebas daripada tekanan emosi dan membina kecekalan dalam menghadapi persaingan dan cabaran. Individu yang mempunyai keyakinan diri yang tinggi dapat melakukan aktiviti tanpa rasa segan atau bimbang mengenai pandangan orang lain terhadap dirinya. Oleh itu, setiap aktiviti yang dilakukan perlulah ada keyakinan supaya dapat menjamin keberkesanannya.

Kesimpulan
Kesimpulannya, kesemua bidang Seni Dalam Pendidikan iaitu seni visual,muzik dan pergerakan perlu diintegrasikan kerana ketiga-tiga subjek ini mempunyai motif dan tujuan yang sama. Pengintegrasian ini akan memperkukuhkan dan memantapkan lagi kefahaman pelajar tentang tajuk-tajuk yang diajar.



Artikel 2


Aplikasi Seni Dalam Pendidikan

Seni Dalam Pendidikan (SDP) menjurus kepada seni visual, seni muzik dan seni pergerakan. Penggunaan seni dalam pendidikan ini menyentuh perasaan estetika dan daya kreativiti individu melalui penajaman intuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi murid. Guru akan memberi peluang kepada murid untuk menjalankan aktiviti seperti meneroka, mengalami dan mengekspresi citarasa pancaindera. Selain itu, murid juga diharapkan dapat mengamalkan pertimbangan seni visual, seni muzik dan seni pergerakan dalam meningkatkan lagi kepekaan, kreativiti, daya imaginasi untuk mencapai pembelajaran optimum, menyeluruh dan menyeronokkan.

Pada masa ini Pendidikan Seni Visual telah dimartabatkan sepenuhnya sebagai subjek yang berperanan besar dalam pengajaran dan pembelajaran kerana subjek ini merentasi kurikulum dalam subjek-subjek lain. Dalam pengajaran guru, Pendidikan Seni Visual menjadi asas alat bantu mengajar yang baik melalui penampilan grafik yang efisyen, pemilihan warna harmoni,dan reka bentuk maujud yang cantik. Di kalangan pelajar, Pendidikan Seni Visual menjadi subjek penting untuk berkreativiti bagi melahirkan insanyang celik seni dan berbudaya.

Cara dan peranan guru dan murid dalam melaksanakan penghububungkaitan tersebut dalam pengajaran dan pembelajaran.

Penghubungkaitan dan pautan di dalam mata pelajaran ini boleh disamakan dengan program-program antara disiplin-disiplin yang terdapat di dalam mata pelajaran yang lain. Ia boleh dilakukan dengan beberapa cara seperti  menghubungkait pengetahuan dalam berbagai mata pelajaran, Proses penghubungkaitan pengetahuan dalam berbagai mata pelajaran adalah brfokuskan kepada matlamat terakhirnya. Untuk itu proses ini akan berbentuk satu lingkaran atau bulatan dan antara setiap mata pelajaran itu saling berkait untuk mencapai satu matlamat. Selain itu ialah menghubungkait kemahiran dalam berbagai mata pelajaran.Dengan adanya penghubungkaitan kemahiran dalam berbagai mata pelajaran akan dapat mengubung kait sesuatu yang dipelajari dengan keadaan kehidupan yang sebenar.

Penghubungkaitan ini berperanan sebagai satu strategi dan kaedah pendidikan untuk membantu melahirkan pembelajaran dan persekitaran yang menyelitkan unsur-unsur sosial agar dapat membentuk nilai murni sepeti menghormati, menggalakkan sikap kepimpinan yang terpuji, berinisiatif dalam menjalankan tugasan yang diberi oleh guru dan bersikap inovasi dalam melaksanakan satu-satu aktiviti dan kemahiran serta dapat merangsang setiap pelajar untuk mencapai kecemerlangan dari segala sudut baik akademik mahu pun kokurikulum. Ia secara tidak langsung akan mengaitkan mata pelajaran seperti sejarah, sains dan teknologi, kajian sosial, bahasa dan fizikal dan pembangunan sosial, meletakkan keseluruhan kurikulum kedalam konteks kehidupan yang sebenar.

Setiap pelajar berhak memperolehi pengalaman berasaskan pendidikan yang pelbagai bentuk walau pun mereka datang dari pelbagai latar belakang dan taraf sosio ekonomi yang berbeza dan mempunyai sebarang kekurangan. Untuk itu seni visual memainkan peranan yang penting dalam pendidikan keseluruhan dan pembangunan minda pelajar. Sebagai seorang guru peranan yang perlu dilaksanakan dalam pengajaran dan pembelajaran adalah untuk merancang sesuatu pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih sistematik. Untuk mencapai matlamat ini, guru perlulah merancang topik, objektif, isi, cara penyampaian dan penilaian yang bersesuaian dengan kebolehan sedia ada serta minat pelajar.


 Selain itu guru berperanan memberi motivasi kepada pelajar. Motivasi bermakna seni praktik menggunakan insentif dan membangkitkan minat untuk tujuan membuatkan pelajar menunjukkan prestasi dalam cara yang diingini. Pelajar adalah digalakkan untuk melibatkan diri dengan sepenuhnya dalam segala aktiviti yang diadakan di sekolah tanpa ada sebarang pengecualian. Dengan melibatkan diri secara aktif ianya secara tidak langsung dpat mempertingkatkan konsep kendiri iaitu dapat membuat penilaian, pandangan, tanggapan dan kepercayaan termasuk kekuatan dan kelemahan diri sendiri.

Pengukuhan merupakan satu cara guru untuk merangsang minda pelajar supaya akan menyebabkan pembelajaran pelajar meningkat maju atau terdapat peningkatan dalam tingkahlaku yang positif. Penyampaian pengukuhan ini juga dapat membentuk pelajar memperolehi pelbagai pengalaman serta pengetahuan berdasarkan aktiviti-aktiviti yang dirancangkan itu menarik dan mencabar mereka.

Salah satu contoh bidang mata pelajaran di sekolah rendah untuk digunakan dalam pengajaran yang menggunakan pendekatan bertema ialah :

Mata Pelajaran  :  Sains Tahun Empat
Tajuk  : 3.1 Basic needs of Plants
Tema : Persekitaran pokok.


Jadi murid akan diperkenalkan tentang pokok-pokok yang terdapat dalam kawasan sekolah dengan cara membawa murid-murid melawat kawasan sekolah dan sebagainya. Selepas itu, murid diminta melakukan pergerakan berkaitan dengan pokok diiringi muzik yang dihasilkan dengan pelbagai alat muzik.

Pergerakan :      (a) Cara dahan-dahan bergerak semasa angin bertiup,
(b) Memungut daun-daun yang gugur pada aras yang berbeza tinggi, rendah, berterbangan.

Muzik : (a) Bunyi yang kuat --- pokok tumbang

(b) Bunyi yang lembut --- daun gugur,angin bertiup

Seni Visual : (a) Mewarna dan menggambarkan perasaan seperti gembira,marah dengan menggunakan sapuan berus dengan pelbagai warna.
Pelajaran diteruskan dengan aktiviti-aktiviti lain seperti penerangan dalam kumpulan, sumbangsaran tentang aktiviti yang telah dibuat. Kesimpulan dari aktiviti-aktiviti itu secara tidak langsung akan dapat membantu untuk mengesan bahagian-bahagian pokok (Sains),
mengeluarkan sati urutan bunyi berkaitan dengan persekitaran (muzik), menunjukkan perasaan melalui sapuan berus dengan warna yang berbeza-beza
(seni visual) dan melakukan pergerakan lokomotor (pendidikan jasmani)

Perkara penting yang terdapat pada tema yang dipilih;

Tema Persekitaran : Pokok yang dipilih selain daripada mata pelajaran Sains, ia juga boleh digunakan kepada semua matapelajaran. Dalam mata pelajaran matematik, pelajar boleh menggunakan aktiviti mengira beberapa batang pokok dalam satu-satu tempat. Manakala dalam matapelajaran muzik, pelajar akan menyanyikan lagu pokok dan membuat pergerakan seperti pokok bergoyang, pokok tumbang dan sebagainya. Tema Pokok ini juga berkaitan dengan pengalaman dengan kehidupan diri pelajar. Ini akan memudahkan guru untuk membuat interaksi dan aktiviti seni dalam pendidikan dapat dijalankan dengan berkesan. Tema Pokok juga bersesuaian dengan keadaan situasi, masa dan peristiwa yang berlaku pada masa kini. Secara tidak langsung dapat memudahkan pelajar membuat perkaitan antara perkara yang diajar dengan kedaan situasi yang sebenar.

Penyediaan kemudahan untuk memperolehi bahan dan sumber yang akan digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran mudah didapati di persekitaran sekolah. Tema yang dipilih dapat disampaikan dalam pengajaran dan pembelajaran mempunyai aktiviti dan langkah-langkah pengajaran dari yang mudah kepada yang lebih mencabar.

Aktiviti pengintegrasian mata pelajaran yang boleh dijalankan dalam P&P

a)Penggabungjalinan
Bermaksud sebagai proses mengintegrasikan pelbagai bidang kemahiran bagi mewujudkan suatu pelajaran yang integratif dan menyeluruh. Melalui strategi penggabungjalinan ini berbagai-bagai kemahiran dalam sesuatu pelajaran disampaikan secara harmonidan bersepadu, sama ada dalam satu mata pelajaran atau beberapa mata pelajaran. Strategi penggabungjalinan kemahiran ini akan melahirkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menarik dan bermakna serta menimbulkan suasana proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan. Penggunaan strategi ini membolehkan pelajar berpeluang menguasai beberapa kemahiran yang berkaitan dengan cara bersepadu.

2)Penyerapan
Penyerapan ialah proses menyebati dan menyatupadukan pengetahuan atau unsure isi pengetahuan daripada suatu mata pelajaran ain ke dalam isi pelajaran bagi sesuatu mata pelajaran yang diajar. Proses penyerapan lebih kepada unsure pengetahuan. Penyerapan merupakan proses mengintegrasikan unsur-unsur isi kandungan daripada dua atau lebih mata pelajaran dalam sesuatu pelajaran. Contohnya, daripada mata pelajaran sains guru akan mengambil petikan atau artikel sains bagi aktiviti bacaan dan kefahaman dalam mata pelajaran Bahasa Melayu. Dengan ini pelajar akan memperolehi ilmu pengetahuan sains semasa mempelajari kemahiran mata pelajaran Bahasa Melayu.

3)Penerapan
Konsep penerapan membawa maksud sebagai satu proses menerapkan nilai-nilai dalam pelaksanaan kurikulum dan gerak kerja kokurikulum. Nilai-nilai yang dimaksudkan ialah nilai-nilai murni, nilai kewarganegaraan, nilai kemasyarakatan, nilai alam sekitar, nilai kemanusiaan, ketuhanan dan sebagainya.
4)Pemulihan
Pemulihan merupakan satu aktiviti yang secara khusus bertujuan untuk membantu pelajar yang mengalami masalah pembelajaran yang tertentu khususnya dalam kemahiran asas 3M. Aktiviti pemulihan pula merupakan aktiviti yang dirancangkan untuk membantu murid mengatasi masalah pembelajaran dari segi pengetahuan dan kemahiran.

5)Pengayaan
Aktiviti pemulihan adalah difokuskan kepada pelajar yang berpencapaian rendah atau lambat kadar penerimaannya, oleh itu pengayaan adalah untuk pelajar yang pencapaiannya melebihi

Kebaikan dan kelebihan. Antaranya :

(a)Mempunyai kepelbagaian dan keseragaman aktiviti dalam bentuk unti-unit kerja. Apabila seni dalam pendidikan diintegrasikan di dalam unit-unit kerja, maka bertambahlah peluang pelajar untuk menceburi aktiviti-aktiviti pembelajaran. Dengan ini tahap kebolehan mereka untuk menyelesaikan sesuatu masalah dalam sesuatu unit kerja akan meningkat kerana mereka telah mempunyai kelebihan media yang boleh dijadikan sebagai alat bantu dalam menyelesaikan maslah Secara tidak langsung aktiviti seperti ini akan memperkayakan dan menambahkan lagi kefahaman pelajar terhadap pelajaran yang disampaikan.

(b) Mempunyai ruang untuk menampung kepelbagaian akitiviti seni dalam pendidikan. Apabila setiap aspek kurikulum dimanfaatkan dengan sebaik mungkin untuk tujuan meleraikan proses penyelesaian masalah, secara tidak langsung akan dapat mewujudkan peluang yang baik bagi menerap dan melaksanakan aktiviti seni visual, muzik dan pergerakan.

c) Mempunyai ruang untuk menampung skop perpaduan yang luas. Apabila Seni dalam pendidikan diintegrasikan dengan bidang kurikulum yang lain, akan terbit suatu tanggapan, baik di kalangan guru mahupun pelajar, bahawa integrasi itu merupakan sebahagian daripada program aktiviti sekolah dan bukannya sesuatu yang bersifat terasing dan terpisah

Apakah alat/bahan yang sesuai dengan aktiviti tersebut untuk murid meneroka, memperolehi pengalaman dan mengalami ekspresi? Apakah kesan penggunaan alat/bahan ini kepada proses pengajaran dan pembelajaran?


Seni dalam Pendidikan memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja untuk meneroka pelbagai sudut yang mereka lihat, dengar, sentuh, bergerak dan berfikir dengan setiap aktiviti pembelajaran. Dalam pengajaran dan pembelajaran bertema persekitaran pokok ini pelajar menggunakan persekitaran sebenar iaitu melihat, merasai dan menjiwai keindahan pokok-pokok di kawasan sekolah. Ini dapat menyediakan cara tambahan untuk belajar membaca, menulis dan mengira bahkan menggalakkan mereka dengan memberi pelbagai pandangan dan bahasa untuk mereka berfikir secara kreatif, imaginative dan kritis.

Bukan itu sahaja, bahkan Seni dalam Pendidikan dapat memberikan kanak-kanak keseronokkan dan kegirangan di dalam bilik darjah.Pelajar digalakkan untuk meneroka dengan membuat ekperimen, menyelidik dan mencipta menggunakan pelbagai idea dan bahan. Tujuannya adalah untuk menjadikan pelajar menjadi seorang yang benar-benar lebih berimaginatif. Pengalaman yang diperolehi dalam seni dalam pendidikan boleh melibatkan kesedaran kinestetik yang mendalam, kepintaran mengunakan tubuh badan dan pengalaman ini akan memberi peluang kepada kanak-kanak dan remaja untuk menyelesaikan masalah, membuat eksperimentasi, meneroka, mengambil risiko, mencipta secara kreatif, membuat penilaian dan bijak membuat pilihan.

Seni dalam pendidikan menyediakan matlamat yang menarik dengan memberi peluang kepada pelajar untuk menemui potensi ekspresif diri melalui pekataan, bunyi, pergerakan dan visual mereka. Bahasa-bahasa simbol yang digunakan untuk membuat ekspresi dalamaktiviti-aktiviti seni. Ini akan membatu para pelajar untuk merasa, menyentuh, mendengar dan melihat secara langsung dunia mereka dengan cara tersendiri. Pelajar akan meluahkan pandangan mereka dengan cara yang seakan-akan sama dengan apa yang dialami dan difahami oleh orang lain. Penerokaan, memperolehi pengalaman dan luahah ekspresi merupakan satu aktiviti yang penting pada seni dalam pendidikan. Ini adalah disebabkan pada topik ini pelajar diberi peluang pendedahan mengenai cara-cara untuk penerokaan dan cara-cara untuk pengolahan dan memanipulasi sesuatu aktiviti. Di samping itu juga pelajar telah diberi pendedahan mengenai dengan unsur-unsur perasaan dan emosi pelajar dan tahu bagaimana untuk menguruskan emosi supaya boleh meluhan perasaan terhadap ekspresi diri.







ARTIKEL 3


artikel dari:
Prof. Madya Hj. Iberahim
Dekan
Fakulti Sains Sosial dan Kesenian
Universiti Pendidikan Sultan Idris.



Pertukaran nama daripada Seni Lukis dan Pertukangan Tangan kepada Pendidikan Seni pada awal tahun 1980an apabila KBSR diperkenalkan dan seterusnya akan bertukar semula namanya kepada Pendidikan Seni Visual pada 2002 tentulah berlatar belakangkan rasional yang amat signifikan. Ianya memberi kesan yang jelas kepada matlamat dan objektif keseluruhan mata pelajaran ini. Kandungan mata pelajaran pun akan berubah atau bertambah. Pendekatan pengajaran dan pembelajaran juga akan berubah mengikut keperluan seterusnya akan mempengaruhi strategi dan kaedah pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah juga. Yang tidak kurang pentingnya ialah falsafah, kepercayaan dan amalan guru-guru yang mengajar mata pelajaran ini perlu selari dengan falsafah dan matlamat mata pelajaran ini.

Pada hari ini dan beberapa tahun kebelakangan berbagai-bagai pihak yang bergiat dalam pendidikan seni visual sama ada secara individu maupun oleh institusi, kerajaan dan badan bukan kerajaan berusaha dengan berbagai-bagai pendekatan dan kaedah untuk meletakkan mata pelajaran pendidikan seni (visual) ini ke atas landasan yang benar agar martabatnya selari dengan mata pelajaran sekolah yang lain. Dalam usaha ke arah itu beberapa isu yang bersangkutan dengan keberkesanan pedagogi mata pelajaran ini perlu dijelaskan.

Pendidikan Seni Visual-Seni Halus-Seni Kraf : Kecelaruan Konsep “Art Education” kini kita panggil Pendidikan Seni (Visual) sebagai satu mata pelajaran. Kita perlu menjelaskan apakah yang dimaksudkan dengan mata pelajaran ini. Kerana sehingga kini dari pengamatan dan kajian saya masih terdapat berbagai-bagai tanggapan dan tafsiran tentang pendidikan seni (visual) ini. Kerana apabila disebut pelajaran pendidikan seni ada yang beranggapan sebagai suatu aktiviti seni yang merangkumi kegiatan melukis dan membuat gambar atau lebih kepada bidang seni halus. Adakah seni halus itu serupa dengan pendidikan seni visual? Ada setengah pihak pula beranggapan Pendidikan Seni menjurus kepada kerja-kerja menghasilkan produk kraf. Ada yang beranggapan pendidikan seni visual kini lebih berbentuk akademik dengan mengajukan bidang sejarah dan apresiasi seni .

Kesamaran ini perlulah dijelaskan. Bidang-bidang ilmu itu mempunyai falsafah dan struktur ilmu yang khusus masing-masing menjurus kepada matlamat yang berlainan. Sekiranya pemikiran dan kepercayaan yang masih bercelaru ini tidak dijelaskan bagaimana seorang guru itu dapat mendukung falsafah dan matlamat matapelajaran yang diajar. Kesannya ialah akan berlaku penyempangan dan mengawal proses pendidikan yang mengikut selera yang tidak tentu arah dan matlamatnya. Akhirnya mata pelajaran ini seperti ayam kehilangan ibu dan seperti layang-layang putus tali.

Usaha telah dilakukan oleh pihak Kementerian Pendidikan melalui Pusat Perkembangan Kurikulum untuk menjelaskan konsep pendidikan seni ini. Jikalau diteliti kesemua peringkat sukatan pelajaran pendidikan seni yang disediakan sudah jelas pengertian dan matlamatnya. Tetapi kecelaruan itu masih berlaku dalam kepercayaan dan amalan di bilik darjah atau ketika proses pengoprasian dilakukan . Nilai-nilai pendidikan tidak berjaya diamalkan dalam proses P&P Pendidikan Seni di bilik darjah tumpuan lebih kepada matlamat menghasilkan produk semata-mata. Untuk menjelaskan lagi konsep Pendidikan Seni itu, menurut Eisner (1972) terdapat tiga komponen dalam P&P yang saling berkait iaitu, berpusatkan pelajar, subjek dan masyarakat. Ini selari dengan pendapat para akademik seperti Ralph Tyler yang membahaskan bahawa semua teori-teori dan program pendidikan mesti berfokus kepada tiga komponen tersebut.

Pendidik mata pelajaran ini harus jelas akan 3 persoalan di bawah ini:
• Siapa yang kita ajar
• Mengapa kita mengajar
• Apa yang kita ajar (Laura Chapman 1978)

Siapa yang kita ajar: Merujuk kepada kanak-kanak di sekolah bermula di peringkat tadika hinggalah remaja di sekolah menengah malah hingga orang dewasa yang mengikuti pendidikan sepanjang hayat (life long education). Mengapa kita mengajar: Jawapan persoalan ini merujuk kepada apalah matlamat dan objektif khusus yang jelas ialah untuk membantu memperbaiki masyarakat supaya kehidupannya lebih selesa. Membantu pelajar kita agar kehidupan masa hadapannya lebih sempurna. Apa yang kita ajar: Yang kita ajar adalah proses mengurus dan mempermudahkan struktur ilmu Pendidikan Seni agar domain kognitif pelajar berkembang, menerapkan nilai-nilai dalam pembentukan sahsiah pelajar agar domain efektifnya terbentuk dan meningkatkan kemahiran psikomotor mereka.

Masalah Mentafsir Kandungan Pendidikan Seni Visual ke dalam bentuk Operasi di bilik darjah: Beberapa unsur terlibat dalam proses ini, pertamanya sejauh mana penguasaan ilmu dikalangan kita yang berkaitan dengan kandungan mata pelajaran ini. Keduanya setakat mana keupayaan kita berupaya mengurus unsur-unsur dalam kurikulum pendidikan seni. Ketiga setakat mana kita jelas tentang keperluan murid-murid atau pelajarnya ketika belajar pendidikan seni. Keperluan dari segi psikologi, sosial, fizikal, emosi dan sebagainya. Keempatnya setakat mana kita mampu menguruskan masa berbanding dengan jumlah kandungan yang hendak diajar dan dengan kemudahan yang ada. Kelimanya apakah kepercayaan kita kepada konsep perancangan, adakah kita mengamalkan kepercayaan “selesaikan semua isi kandungan yang dirancang, “buat sahaja perancangan pelajaran tahun lalu” atau sikap ambil mudah dalam merancang rancangan pelajaran pendidikan seni. Keenam kretiviti guru mengatasi masalah “kekurangan”.

           Yang jelas ialah perlunya memiliki pengetahuan yang mencukupi dan sikap yang positif terhadap tugas sebagai guru pendidikan seni. Latihan yang didapati di maktab atau universiti belum menjamin keberkesanan guru dalam menyediakan pelajaran pendidikan seni ini kerana guru perlu mengemasakinikan dirinya dengan pengetahuan-pengetahuan dan kemahiran baru yang boleh mempengaruhi tingkah laku guru untuk bertindak secara lebih positif dalam mentafsir kandungan pelajaran ini sesuai dengan keperluan dan perubahan semasa. Konsep DBAE umpamanya tidak pernah dipelajari ketika berkursus dalam tahun 70an atau 80an. Tetapi konsep atau struktur kurikulum berdasarkan empat disiplin ilmu pendidikan seni ini merupakan amalan terkini di peringkat antarabangsa. Sukatan pelajaran pendidikan seni (visual) terpengaruh dengan perubahan ini. Persoalannya adakah guru-guru di sekolah rendah atau menengah sedar tentang keadaan ini. Sesuatu perubahan baru tentangnya perlu disampaikan kepada guru-guru di sekolah. Oleh itu perlulah diusahakan suatu makanisma bagaimana maklumat seperti ini sampai kepada para guru. Kepada yang menguasai ICT mereka mampu mendapatkan maklumat terkini dengan melayari internet. Suatu cara lain ialah melalui jurnal yang diterbitkan oleh pihak-pihak tertentu. Yang pentingnya ada pihak yang bertanggungjawab untuk menulis menerbit dan mengedarkannya. Suatu cara lagi adalah melalui kursus-kursus pendek dalam pendidikan seni perlu selalu diadakan oleh pihak tertentu sama ada dianjur oleh pihak kementerian atau institusi pengajian tinggi yang lain.

Hanya dengan ilmu dan kemahiran yang ada berserta dengan jelas falsafah, matlamat dan objektif barulah seseorang guru pendidikan seni itu dapat merancang pelajaran dengan berkesan. Kandungan sukatan pelajaran boleh ditafsir dengan tepat seperti yang dikehandaki. Setiap tajuk pelajaran dapat dikembangkan kepada pelajar secara bersepadu dengan menitikberatkan kepada memperkayakan pengalaman pelajar menerusi proses pembelajaran bersepadu. Sebagai contoh suatu proses pelajaran yeng berkaitan dengan komposisi dalam membuat gambar. Proses pembelajaran tidak mungkin boleh diselesaikan dalam masa satu sesi pelajaran sahaja. Seharusnya pelajar didedahkan dahulu dengan konsep gubahan dalam sebuah catan dengan merujuk beberapa contoh seniman tempatan atau antarabangsa. Sesi ini pelajar bersama-sama meneroka dan mencari maklumat yang dirangsang oleh guru, secara tidak langsung sesi kritikan berlaku, pelajar boleh membuat perbandingan, seterusnya membuat rumusan. Sesi berikut pelajar boleh menggunakan kriteria, gubahan dari mana-mana seniman yang dipilih kemudian membuat gambar, mungkin menggunakan kaedah peniruan itu tidak salah kerana ia merupakan suatu proses belajar. Setelah mereka faham dan mengenalpasti konsep gubahan dalam catan mereka perlu membuat sebuah cipataan berdasarkan kefahaman mereka sendiri dengan mengambil kira peraturan- peraturan dalam membuat sebuah gubahan yang telah mereka temui. Sesi berikutnya disusuli dengan sesi kritikan tentang kerja-kerja mereka pula.

Melalui proses di atas pelajar diberi ilmu bagaimana untuk membuat sebuah gubahan yang baik (merujuk kepada data-data dari guru dan seniman terpilih) dengan ilmu itu pelajar menggunakan sebagai latihan, konsep dalam gubahan bertambah, kamahiran juga bertambah melalui latihan, proses pengamatan semakin matang maka pelajar semakin yakin kepada keupayaan dirinya untuk terus berkreatif. Dalam proses ini yang penting adalah :
• peningkatan ilmu dalam membuat gubahan
• peningkatan ilmu dalam sejarah seni, mengenali tokoh seni
• peningkatan ilmu dalam kritikan dan laras bahasa seni

            Latihan dan Kursus Pendidikan Seni di peringkat Maktab Perguruan dan Institusi Pengajian Tinggi: Apabila seseorang graduan atau guru awalan yang berkelulusan seni, pendidikan seni atau yang berkaitan dengan seni visual melangkah kakinya ke sekolah mereka akan membawa bersama pengalaman semasa latihannya ke sekolah. Setiap institusi membekalkan pengalaman pelajarnya berdasarkan matlamat dan objektif latihan masing-masing. Latar belakang pengalaman graduan itu bergantung kepada bidang kepakaran (pengkhususannya) ditambah dengan kursus diploma pendidikan selama setahun atau seumpamanya. Sedangkan ruanglingkup isi kandungan dalam sukatan pelajaran pendidikan seni sekolah menengah dan sukatan pelajaran baru pendidikan seni STPM begitu luas sekali. Untuk menjadi sebagai seorang guru pendidikan seni yang berkesan latihan yang didapati di institusi pengajian tinggi itu masih tidak mencukupi, kecuali pengajaran pendidikan seni disekolah menengah dilakukan berdasarkan pengkhususan bidang masing-masing. Jikalau sebaliknya apabila guru golongan ini diminta mengajar keseluruhan tajuk-tajuk pelajaran ini bagi satu-satu tingkatan sedangkan beliau mahir dalam suatu bidang pengkhususan sahaja maka beberapa tajuk lain akan tertinggal, kerana kurang mahir dan tidak berkeyakinan untuk mengajar. Sekira ini yang berlaku maka konsep pendidikan seni akan menjadi lebih terkeliru di peringkat ini.

              Seperkara lagi corak latihan yang diterima oleh bakal-bakal guru di maktab perguruan. Rata-rata bakal guru ini akan mengajar di sekolah rendah. Pendidikan seni di peringkat sekolah rendah merupakan tahap pembentukan konsep yang amat penting. Hubungan antara pelajaran pendidikan seni dan kanak-kanak sekolah rendah khususnya di tahap satu amatlah signifikan. Pelajaran pendidikan seni di peringkat ini lebih merupakan suatu proses untuk membantu perkembangan dan pertumbuhan menyeluruh kanak-kanak. Landasan pelajaran ini adalah berlandaskan teori perkembangan. Dan pendidikan seni kepada kanak-kanak adalah lebih kepada keperluan eksprasif, di samping perlu untuk meningkat domain kognitif, afaktif dan psikomotor mereka. Ianya banyak menyentuh tentang aspek psikologi perkembangan. Oleh itu guru-guru pendidikan seni perlulah benar-benar terlatih dalam bidang ini. Persoalannya sejauh manakah latihan yang mereka lalui. Adakah hal tersebut merupakan fokus latihan bagi kursus pendidikan seni untuk bakal guru sekolah rendah ? “Siapa saja boleh mengajar Pendidikan Seni”, Pendidikan Seni “pelajaran yang tidak ada potensi”

Seperkara lagi yang menjadi isu dalam pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni adalah tanggapan masyarakat sekolah yang sering beranggapan bahawa : sesiapa sahaja boleh mengajar pendidikan seni, pendidikan seni merupakan waktu untuk guru-guru “berehat” setelah penat mengajar mata pelajaran lain yang “lebih berat”. Selagi tanggapan ini tidak dibetulkan selagi itulah mata pelajaran ini beransur-ansur lenyap dari pandangan positif masyarakat sekolah. Kerana tanggapan inilah menjadikan pelajaran ini semakin sehari semakin dipinggirkan oleh masyarakat. Malahan ada kalangan guru yang pernah terlatih dalam pendidikan seni merasa malu mengajar pelajaran ini, mereka lebih rela mengajar pendidikan jasmani, dan pelajaran lain yang lebih “glamour”.

Selagi pelajaran ini diajar oleh mereka yang tidak terlatih dan tidak inovatif serta kreatif dalam menyediakan pelajaran maka selagi itulah konsep dan roh pelajaran pendidikan seni itu tidak akan hidup di dalam semangat pelajar. Selama itulah pelajar juga akan memandang sepi mata pelajaran ini. Kesannya akan menimbulkan masalah kepada guru-guru pendidikan seni yang bersemangat untuk mengajar kerana pelajar-pelajarnya menolak untuk belajar pendidikan seni, Ini berlaku kerana berdasarkan pengalaman mereka pelajaran pendidikan seni adalah pelajaran untuk berseronok kosong, hambar, kosong, “masa rehat” , dan tiada nilai masa depan serta tiada yang baru, belajar dari sekolah rendah hingga ketingkatan lima benda yang sama saja . (Respon pelajar terhadap soal selidik persepsi pelajar terhadap pandidikan seni, 1999 di kawasan Batang Padang)

Untuk merubah persepsi pelajar ini memerlukan pengorbanan yang besar. Guru perlu gigih dan sabar, perlu memiliki motivasi yang tinggi. Guru perlu menguasai keperluan sebenar pelajar mempelajari pelajaran ini. Tahap awal guru perlulah menanamkan keyakinan kepada pelajarnya bahawa pelajaran ini “berbaloi untuk belajar” Pelajaran perlulah memiliki unsur istimewa yang mendorong pelajar untuk terlibat sama walaupun terpaksa mengeluarkan wang, tenaga dan masa. Mereka sanggup melaluinya sekiranya pendidikan seni itu menarik, berpotensi, berbaloi untuk belajar, ada nilai keilmuannya. Untuk ini guru terpaksalah menggunakan berbagai kaedah untuk memotivasikan pelajarnya melalui berbagai strategi pengajaran dan pembelajaran. Pelajar juga perlu didedahkan kepada berbagai bidang dan jenis kerajaya yang boleh membuka mata mereka bahawa mempelajari pelajaran pendidikan seni ada potensi dalam kerjaya jikalau diberi tumpuan bersungguh-sungguh.

Memertabatkan pelajaran Pendidikan Seni Selari dengan matapelajaran yang lain: Isu untuk memertabatkan matapelajaran pendidikan seni seiring dengan mata pelajaran yang lain bukanlah suatu isu yang baru. Saya percaya guru-guru yang mencintai bidang ini sentiasa memperjuangkannya. Pada dasaranya matapelajaran pendidikan seni adalah tergolong dalam kumpulan matapelajaran asas dari sekolah randah hingga tingkatan tiga. Sama tarafnya dengan mata pelajaran sejarah, geografi, kemahiran hidup, pendidikan jasmani dan kesihatan dan sebagainya. Agihan jam interaksinya dalam seminggu pun sama iaitu tiga waktu seminggu.


Apabila seseorang pelajar sekolah menengah tamat peperikasaan SPM mereka yang mendapat kepujian dalam Bahasa Malaysia boleh menunjukkan keupayaannya dalam berbahasa samaada dalam bentuk tulisan ataupun lisan. Begitu juga mereka yang lulus dalam matematik mampu menyelsaikan masalah matematik berdasarkan ilmu pengetahuan yang mereka kuasai. Pelajar dari bidang vokesional dan teknikal pula mampu memperlihatkan kemahiran-kemahiran mereka, sesetengahnya menguasai kemahiran asas sebagai persediaan untuk peringkat pengajian lebih tinggi atau menceburi di bidang pekerjaan.

Persoalan dan kerisauan saya adalah mereka yang mendapat kepujian dalam pendidikan seni di peringkat SPM, apakah istimewanya mereka. Adakah mereka memiliki tahap ilmu seni setara dengan peringkat SPM seperti mata pelajaran yang lain ? Adakah mereka memiliki daya kreativiti yang tinggi, setara dengan SPM. Adakah kemahiran mereka dalam penciptaan dan penghasilan karya seni setara dengan kemahiran-kemahiran mata pelajaran lain di peringkat SPM. Adakah kita sudah merasa puas tentang tahap pendidikan seni sekarang ? Untuk menjawab persoalan-persoalan di atas kita boleh jadikan objektif-objektif pelajaran pendidikan seni sebagai landasan ukuran.

Keduanya kita perlu menilai semula bagaimana usaha kita menyusun atur isi kandungan mata pelajaran ini secara berperingkat-peringkat mulai daripada tahun satu sekolah rendah hinggalah ke tahap SPM. Ini adalah kemahiran membuat perancangan tahunan bagi setiap tahap Peringkat STPM, PPK telah berjaya memperlihatkan suatu tahap mutu kandungan yang setara dengan kedudukannya, walaupun masih di peringkat permulaan tetapi jauh lebih bermutu berbanding dengan kandungan sukatan pelajaran lama. Ketiga , sudah sampai masanya mata pelajaran ini memiliki buku rujukan atau sekurang-kurangnya ada buku panduan. Soalannya berbalik semula kepada isu yang di atas iaitu bergantung kepada keupayaan guru menterjemah isi kandungan ke dalam bentuk operasi dalam P&P di bilik darjah. Keempatnya sebagai mata pelajaran sekolah , keperluan asasnya dari segi infrastruktur perlulah diberi perhatian. Sudah sampai masanya setiap sekolah memiliki sekurang-kurangnya satu bilik seni yang lengkap sama seperti pelajaran Kemahiran Hidup, Sains Rumahtangga atau matapelajaran Sains. Kelima: Hanya guru yang layak sahaja mengajar waktu pelajaran ini. Keenamnya, mungkinkah Seni memiliki sekolah menengah khasnya seperti juga sekolah sukan ? seperti ura-ura jabatan Pendidikan Johor ?

Pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni: Apakah pendekatan yang digunakan oleh guru untuk mengajar Pendidikan Seni? Adakah kita henya menggunakan pendekatan p&p yang steriotaip sahaja? Sebenarnya terdapat berbagai pendekatan yang bolah kita amaklan agar proses pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran ini lebih menarik. Sebagai contohnya guru bolah menggunakan: Pendekatan Kemanusiaan dalam Pengajaran Pendidikan Seni: Menurut Michael (1983) dan Feldman (1970) mencadangkan agar guru menggunakan pendekatan kemanusiaan dalam pengajaran dan pembelajaran. Menerusi proses pembelajaran yang berlandaskan pendekatan kemanusiaan itu pelajar akan mengenali dirinya dan hubungan dengan masyarakat dan kehidupannya. Keadaan ini akan membantu proses perkembangan mereka dari peringkat paling asas iaitu mengenali diri sendiri, mengenali seni dan kelompok-kelompok masyarakat kecil di persekitaran mereka, peka tentang perasaan mereka , memiliki konsepsi diri yang jelas dan boleh menyatakan pernyataan diri mereka secara kreatif melalui media. Seterusnya mengenali nilai-nilai kemanusiaaan yang boleh digarap maklumatnya daripada karya atau pernyataan seni yang boleh dikesan pada mana-mana bentuk seni atau mana-mana karya seni. Pendekatan Behaviorisme Ahli behaviorisme mempercayai tingkah laku pelajar boleh dibentuk melalui pengalaman-pengalaman pendidikan yang disediakan. Perancangan Pendidikan Seni yang berkaitan dengan situasi kehidupan sebenar adalah penting untuk memastikan kejayaan yang lebih berkesan bagi mencapai objektif pembelajaran. Aspek asas kepada pendekatan ini adalah guru-guru perlu mematuhi disiplin untuk pencapaian sesuatu matlamat yang telah ditentukan dengan mengenalpasti keutamaan, mengaplikasi kaedah-kaedah penyelidikan terhadap tugas-tugas pengajaran dari semasa ke semasa dan bersedia untuk mereka bentuk alat-alat untuk pengujian dan penilaian dalam pembelajaran dan pengajaran seni.

              Masalah utama yang mungkin dihadapi oleh guru adalah untuk menentukan tingkahlaku berasaskan objektif kurikulum pendidikan seni. Apakah tingkah laku yang relevan untuk Pendidikan Seni? Bagaimana seseorang itu boleh mencapai perubahan tingkah laku ketika belajar Pendidikan Seni? Sampai ke tahap manakah sesuatu perubahan itu dinilai ? Matlamat dan objektif manakah yang digunakan sebagai ukuran untuk sesuatu penilaian. Bolehkah dikenalpasti apa yang boleh dipelajari, apa yang akan diajar dan tingkah laku pelajar yang macam mana yang perlu dibentuk?

Pengamatan sebagai pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Seni. Merujuk kepada objektif pelajaran Pendidikan Seni sama ada untuk sekolah menengah atau rendah, salah satu tujuan pembelajaran Pendidikan Seni adalah untuk menajamkan persepsi pelajar. Semua pembelajaran Pendidikan Seni menitikberatkan kepada persepsi (pengamatan) proses mendapat pengetahuan, melayani perasaan dan pernyataan semuanya berlaku menersui deria kita. Sesetengah berpendapat pengamatan melalui deria itu adalah kunci kepada segala ilmu dan pengetahuan. Ianya adalah tingkah laku asas dalam proses seseorang melengkapkan ilmu pengetahuan melalui penerokaan alam persekitrannya. Proses pengamatan melibatkan seseorang itu membuat penelitian, menganalisis, mengsintesis dan menilai. Ia merupakan suatu proses mengurus maklumat yang memerlukan tindakan integrasi secara kreatif. Proses ini juga memerlukan seseorang itu berfikir secara terbuka dan lebih bersifat luwes. Dalam kurikulum Pendidikan Seni aktiivti pengamatan ini telah ditetapkan supaya dilaksanakan mulai dari awal persekolahan hinggalah ke tingkatan menengah atas, Amalannya adalah mengikut tahap keupayaan pelajar. Guru-guru perlu menguasai dan mengenalpasti tahap keupayaan pengamatan pelajarnya dan menggunakannya untuk tujuan perancnagan pengajaran dan pembelajaran.

Aktiviti-aktiviti yang sesuai untuk mengembangkan keupayaan pengamatan ini perlu dikenalpasti. Aktiviti yang boleh membantu pelajar untuk memajukan pengamatan, dan meningkatkan proses kematangan deria perlu disediakan. Program-program perlu disediakan sehingga berjaya membawa perubahan secara mampan terhadap aras kepekaan pengamatan pelajar. Pendekatan Perkembangan Menyeluruh Pendidikan seni adalah merupakan bidang ilmu yang menjelaskan konsep pendidikan menyeluruh, yang memenuhi tuntutan domain kognitif, afektif dan psikomotor. Ini sejajar dengan Falsafah PendidikanNegara. Kneeth M. Lancing (1971), pada dasarnya manyatakan bahawa pendidikan seni perlu memfokuskan perhatian kepada tiga domain utama tersebut. Antara kandungan yang ada di dalam ketiga-tiga domain tersebut adalah; Domain Kognitif : iaitu ilmu yang berkaitan dengan gubahan, prosedur, sejarah dan apresiasi, estetika serta seni dalam kehidupan. Domain Afektif : iaitu suatu aspek yang berkaitan dengan nilai, sikap, minat, keperihatinan, mempunyai pertimbangan, menghargai warisan dan mempunyai sahsiah yang baik. Domain Psikomotor: iaitu menumpukan kepada pertumbuhan kemahiran dalam pergerakan atau gerak balas yang boleh terbentuk melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran, meningkatkan kualiti koordinasi antara mata , tangan, otot dan mental. Seterusnya pelajar yang berbakat akan menjadi penggiat seni dan yang kurang berbakat atau berkemahiran akan menjadi penggemar atau pengkritik seni yang mahir serta berilmu pengetahuan hasil dari proses pengajaran dan pembelajaran Pendidikan seni.

Kesimpulannya banyak isu-isu lain yang tidak diutarakan di sini umpamanya isu yang berkait dengan pendidikan merangkupi era ICT dan seumpamanya. Walau bagaimanapun tahniah diucapkan kepada Kementerian Pendidikan di bawah urusetia Pusat Perkembangan Kurikulum dan unit-unit lain yang telah berusaha untuk meletakkan matapelajaran pendidikan seni ini ke tahap yang sewajarnya. Usaha untuk mengemaskini kualiti sukatan pelajaran dari peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat SPM dan STPM telah dan sedang dilakukan. Usaha ini dilakukan dengan melibatkan wakil-wakil dari semua peringkat sistem pendidikan Negara kita. Pernyataan falsafah, matlamat dan objektifnya telah jelas. Isi kandung pelajaran dan ruang lingkupnya telah dinyatakan selaras dengan tahap sukatan pelajaran. Dengan harapan agar mata pelajaran pendidikan seni dapat memenuhi harsat wawasan dan falsafah pendidkan kebangsaan, dalam usaha untuk memberi persediaan kepada generasi muda dengan ilmu, nilai dan kemahiran kepada generasi muda dengan personality sebagai rakyat Malaysia yang cemerlang untuk generasi akan dating. Ini adalah harapannya. Realitinya diminta kita sama-sama membuat renungan. Sejauh manakah kita telah melaksanakan peranan kita untuk merealisasikan harapan itu. Sejauhmanakan kita telah meletakkan kualiti pengajaran kita dengan menguasai dan mengamalkan beberapa pendekatan sesuai untuk sesuatu matlamat pengajaran, supaya pelajaran pendidikan seni itu benar-benar berkualiti, menarik dan bermakna dari perspektif pelajar Daripada isu-isu yang telah diketengahkan di atas, mungkin kita perlu mengambil langkah untuk memperbaiki bersama-sama dengan memberi pandangan dan idea dalam seminar atau perbincangan yang amat perlu diadakan dengan lebih kerap lagi, mungkin melalui kelompok perbincangan yang lebih kecil . Semuga dengan itu dapat memartabatkan pelajaran pendidikan seni ini ke tempat yang sewajarnya.



13 comments:

  1. salam.cantik gambar tu.saya ambik ye

    ReplyDelete
  2. Artikel yang ditulis tu pun saya ambik ye

    ReplyDelete
  3. Salam 1 Malaysia.
    Artikel yg ditulis dapat memberikan pengetahuan dan maklumat penting dalam kerja kursus saya. Dengan izin saya jadikan artikel sebagai bahan rujukan saya.. Terima kasih atas maklumat..

    ReplyDelete
  4. salam... izinkan saya membuat rujukan artikel yang ditulis, terima kasih..

    ReplyDelete
  5. Assalam..
    Terima kasih atas perkongsian yg bermanafaat ini.
    Hanya Allah yg mampu membalasnya..

    ReplyDelete
  6. Salam..izinkan saya untuk copy artikel ini. Terima Kasih

    ReplyDelete
  7. Salam..izinkan saya untuk copy artikel ini. Terima Kasih

    ReplyDelete
  8. Artikel y sangat membantu...tqvm

    ReplyDelete
  9. mohon share artikel yang bnyk mmbri input

    ReplyDelete
  10. izinkan untuk sy untuk mengambil input dari artikel ini,tq

    ReplyDelete
  11. izinkan untuk sy untuk mengambil input dari artikel ini,tq

    ReplyDelete
  12. Salam...izinkan saya mencedok idea drp maklumat blog ini utk selesaikan asgmnt... t,kasih

    ReplyDelete
  13. Salam...izinkan saya mencedok idea drp maklumat blog ini utk selesaikan asgmnt... t,kasih

    ReplyDelete