Tuesday, October 26, 2010

WAYANG KULIT


PENGENALAN

Wayang Kulit adalah satu bentuk teater tradisional yang menggunakan prinsip cahaya dan bayang. Bayang-bayang daripada patung-patung kulit yang terdiri dari pelbagai watak methologi dan khayalan dilarikan oleh seorang Dalang. Persembahan wayang kulit selalunya diiringi oleh satu kumpulan muzik paluan atau gamelan dan juga alat tiupan (serunai) atau alat bertali (rebab).

PERANAN WAYANG KULIT DALAM KONTEKS SOSIO BUDAYA MASYARAKAT

Pelbagai bentuk dan jenis wayang kulit boleh didapati di Asia dan lebih-Iebih lagi di Tenggara Asia. Setiap jenis mempunyai bentuk dan wataknya yang tersendiri dan agak berbeza dari satu kawasan atau latar belakang masyarakat kepada yang lain. Hari ini di Semenanjung Malaysia sahaja terdapat empat jenis wayang kulit dan setiap satu mencerminkan pengaruhpengaruh masyarakat dan juga kebudayaan yang telah mempengaruhi masyarakat itu. Terdapat empat jenis wayang kulit di Semenjung Malaysia
iaitu :

i) Wayang Kelantan (disampaikan dalam bahasa Melayu loghat
Kelantan dan berasas kepada pengaruh Patani).
ii) Wayang Melayu (disampaikan dalam bahasa Melayu berpengaruh
Jawa)
iii) Wayang Purwo (disampaikan dalam dalam bahasa Jawa dan diselit
dengan dengan bahasa Melayu tempatan).
iv) Wayang Gedek (lazimnya disampaikan dalam bahasa Thai dan
bahasa Melayu loghat tempatan).

Dari keempat-empat jenis wayang kulit ini yang pertama dan kedua didapati di Kelantan dan negeri-negeri Pantai Timur, yang ketiga terdapat di bahagian Selatan Pantai Barat Semenanjung terutamanya di Johor dan yang keempat terdapat di negeri Kedah, Perlis dan beberapa negeri utara Pantai Barat Semenanjung.

Pada asasnya kesemua bentuk atau jenis wayang kulit yang terdapat di Semenanjung Malaysia mempunyai pengaruh-pengaruh samada dari Jawa atau Patani (Selatan Thai) tetapi dalam perkembangannya semua pengaruh ini telah mengalami perubahan dan penyesuaian mengikut penerimaan dan konteks masyarakat tempatan. Perkara ini berlaku adalah kerana wayang kulit pada dasarnya merupakan satu alat perhubungan masyarakat di samping satu rupa pengutaraan kesenian.

Pada asasnya, aliran cerita, bentuk patung-patung dan watak masih lagi mengekalkan keaslian dan pengaruh asalnya tetapi pada adegan-adegan kelakar 'comic relief' yang sering terdapat di sepanjang cerita wayang kulit itu, ianya jelas mengemukakan unsur-unsur tempatan dari segi bahasa dan juga peristiwa-peristiwa yang digambarkan. Oleh itu, wayang kulit sebenamya boleh dinikmati (hayati) dalam dua peringkat. Kedua-duanya mempunyai peranan yang penting.

JENIS DAN BENTUK WAYANG KULIT DI MALAYSIA

WAYANG KELANTAN


                            


Pengenalan
Jenis wayang kulit ini dahulunya dikenali sebagai Wayang Kulit Siam kerana pemerintahan Melayu Kelantan yang berasal dari Patani di negeri Siam. Walaubagaimanapun, ia dipercayai berasal dari Kemboja tetapi dibawa masuk ke Kelantan melalui Patani. Wayang ini tersebar dengan meluas di Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

 Isi Cerita
Cerita yang dimuat dalam wayang ini berdasarkan cerita dalam Hikayat Seri Rama. Hikayat Seri Rama merupakan himpunan cerita yang disadur dari epic Ramayana tradisi India. Watak utama wayang Kelantan Laksamana & Seri Rama

Patung-Patung
Ukiran hiasan patung-patung wayang ini menunjukkan banyak persamaan dengan patung-patung Patani. Ia diukir dalam bentuk mengiring dan kebanyakkannya berdiri di atas kenderaan. Dari segi pergerakan mekanikal, hanya tangan di sebelah hadapan yang dapat bergerak sambil memegang alat senjata atau kebesaran lain.

Alat Muzik
Alat-alat muzik wayang tersebut terdiri dari sebatang serunai, sepasang gedombak, sepasang geduk, sepasang gong (tetawak), sepasang kesi, sebiji mong dan canang.

Bahasa
Bahasa pengantar dalam teater tradisional ini ialah dialek Melayu Kelantan yang mempamerkan pengaruh Patani.

WAYANG MELAYU

                               
                                                             Wayang Melayu

Pengenalan
Wayang jenis ini terdapat di Pantai Timur, terutama Kelantan dan Terengganu. Walau bagaimanapun, bilangannya amat terhad.

Isi Cerita
Cerita Wayang Melayu berdasarkan episod-episod dari epik Mahabharata, terutamanya cerita Pendawa Lima. Wayang ini juga dipengaruhi oleh cerita Panji.

Patung-Patung
Dari segi pergerakan, ia menunjukkan persamaan dengan wayang purwo iaitu boleh digerakkan kedua-dua belah tangan patung. Patung wayang ini senang untuk dikenalpasti mengikut kedudukan kepala. Patung berwatak baik biasanya menundukkan kepala ke bawah dan bentuk tubuhnya adalah kecil serta elok. Patung berwatak kasar dan sombong lazimnya berhidung besar serta mendongak ke atas.

Alat Muzik
Alat muziknya terdiri dari sebatang rebab, enam biji canang, dua biji gong besar, satu biji mong, dua biji gendang dan sepasang kesi.

Bahasa
Cerita ini disampaikan dalam bahasa Jawa di samping diselitkan dialek Melayu tempatan.


WAYANG GEDEK


                                                               Wayang Gedek

Pengenalan
Wayang Gedek tersebar di bahagian Utara Pantai Barat Malaysia, terutamanya Kedah dan Perlis. Wayang ini dimainkan oleh orang MeIayu dan juga Siam tempatan. Ia dipercayai berasal dari sejenis wayang kulit siam yang dikenali sebagai Nong Talung dan sebab inilah patung serta alat muziknya mahupun corak paluannya mirip Siam.

Isi cerita
Isi cerita wayang Gedek mempunyai banyak persamaan dengan Nong Talung. Walau bagaimanapun, berlaku beberapa pengubahsuaian dalam wayang ini yang menyaksikan penerapan unsur-unsur setempat. Cerita Wayang Gedek banyak diselitkan babak-babak cerita yang popular pada masa kini.

Patung-Patung
Secara umumnya, ia menunjukkan pengaruh Nong Talung baik dari segi ukiran, pakaian, hiasan dan seumpamanya. Patung-patung wayang ini diukir mengadap ke hadapan.

Alat Muzik
Alat muzik wayang ini terdiri daripada sepasang gedombak, sepasang gong, sepasang kerincing, sebiji geduk dan sebatang serunai.

Bahasa
Biasanya wayang ini disampaikan sama ada dalam loghat Siam mahupun dialek Melayu Kedah.


                                                       Babak dalam wayang gedek


WAYANG PURWO


                                     
                                                            Wayang Purwo
Pengenalan
Wayang ini terdapat di bahagian Selatan Pantai Barat, terutamanya Johor dan dimainkan oleh penduduk keturunan Jawa.

Isi Cerita
Cerita wayang ini berdasarkan cerita Pendawa Jawa yang disadur dari epic Mahabharata India. Begitupun, ceritanya tidak memperlihatkan pengaruh cerita panji.

Patung-Patung
Secara keseluruhan patung-patung ini menyerupai patung wayang kulit Kelantan. Perbezaan yang nyata adalah dari segi bentuk mata patung, iaitu mata Jaitan untuk watak pahlawan, mata pepelangan untuk watak jahat dan mata prebes untuk watak pertapa.

                                          
Alat Muzik
Alat Muzik wayang purwo berbeza dengan wayang lain kerana terdiri dari sebiji gong besar (agong), sebiji gong suwukan, satu set gambang, lima biji kempul, lima biji kenong, dua set gonder, satu slentem, satu set saron, satu set peking (saron penerus), satu set ketok/kompang, satu batang rebab dan satu biji gendang. Oleh itu, nada yang mengiringi persembahan wayang ini juga berlainan.

Bahasa
Wayang ini disampaikan dalam bahasa Jawa namun dialek Melayu tempatan juga diselitkan dalam dialog cerita. Dalang dan pemain alat muzik dalam persembahan wayang kulit purwo

No comments:

Post a Comment